OGOS 2022

Ucapan Penuh YAB Premier Sempena Perasmian Penutupan Jelajah Keluarga Malaysia Sarawak 2022


UCAPAN PENUH YAB PREMIER SEMPENA PERASMIAN PENUTUPAN JELAJAH KELUARGA MALAYSIA SARAWAK 2022 BERTEMPAT DI DATARAN PERAYAAN, PETRA JAYA, KUCHING

MUKADIMAH

Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kedatangan YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob ke Kuching sekali lagi - kali ini bersempena Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sarawak pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak rakyat Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memberi penghormatan kepada Sarawak untuk menjadi destinasi ketujuh bagi Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak 2022 selepas negeri Johor, Perlis, Sabah, Trengganu, Perak dan Kelantan.  

Bagi Sarawak usaha untuk memasyarakatkan konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri membawa mesej yang amat bermakna kepada kami kerana pelancaran Keluarga Malaysia Peringkat Nasional telah dilakukan di Kuching pada bulan Oktober tahun lepas. Sebagai Anak Sarawak saya menganggap ia satu pengiktirafan kepada budaya saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan di Bumi Kenyalang ini.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

ILTIZAM YAB PERDANA MENTERI

Sejak dilancarkan pada tahun lepas, usaha berterusan untuk menyemarakkan semangat kebersamaan melalui Konsep Keluarga Malaysia mencerminkan iltizam YAB Perdana Menteri untuk membawa keterangkuman serta jalinan kemesraan dan suasana muhibbah sebagai tonggak untuk membangunkan negara ini, lebih-lebih lagi dalam suasana yang begitu mencabar pada ketika ini.

Saya amat berharap semangat kebersamaan dan keterangkuman yang ingin disemai dalam pemikiran dan tingkah laku setiap rakyat Malaysia akan terus membawa kepada persefahaman dan kesepaduan antara rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama, dan juga antara masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bak kata bidalan “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati, 

PIAGAM MADINAH

Sebagai salah satu tindakan yang konkrit dan nyata dalam menterjemahkan makna kebersamaan dan keterangkuman, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan bantuan kepada penganut-penganut agama bukan Islam melalui UNIFOR atau Unit for Other Religions atas dasar agama-agama bukan Islam juga memerlukan pembelaan dan kepedulian Kerajaan. Sejak mula diperkenalkan pada 2017, UNIFOR telah menyediakan peruntukan sebanyak RM215 juta untuk membina atau membaiki rumah-rumah ibadah bagi agama-agama bukan Islam, RM30 juta untuk sekolah mubaligh dan RM10 juta untuk tujuan pentadbiran. 

Kerajaan Sarawak juga telah menyediakan peruntukan sebanyak RM70 juta untuk membina Bangunan UNIFOR di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching supaya pentadbiran UNIFOR lebih tersusun dan pelaksanaan aktiviti keagamaan di bawah UNIFOR lebih teratur.  Saya yakin dan percaya kebersamaan dari segi pembangunan agama antara masyarakat Islam dan bukan Islam di Sarawak akan melahirkan masyarakat yang mesra antara satu sama lain dan menghindarkan prasangka yang boleh mendatangkan perpecahan.  

Sebagai Ketua Kerajaan Sarawak yang beragama Islam, saya selalu menegaskan bahawa Piagam Madinah di zaman Rasulullah SAW adalah panduan yang amat sesuai sekali untuk menjamin pentadbiran yang adil bagi masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di Sarawak seperti yang berlaku ketika pemerintahan Rasulullah SAW. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

KELUARGA SARAWAK

Seperti kita sedia maklum, sejurus selepas YAB Perdana Menteri memulakan tugas sebagai Perdana Menteri beliau telah memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebagai falsafah pentadbiran beliau. Saya menganggap inisiatif ini mencerminkan hasrat ikhlas YAB Perdana Menteri untuk melihat semua rakyat Malaysia terus bersatu demi kepentingan negara yang lebih besar daripada kepentingan peribadi atau kepentingan mana-mana kumpulan. 

Pada kebelakangan ini negara telah mengalami keadaan politik yang tidak menentu dan mendatangkan impak yang negatif kepada negara. Kepimpinan YAB Perdana Menteri telah memperlihatkan sedikit sebanyak perubahan yang positif dan Sarawak amat berharap keadaan ini berkekalan dan negara terus stabil dan bergerak ke arah ekonomi yang dinamik dan maju. 

Di Sarawak pula, dengan semangat kesafahaman dan kesepaduan yang segar dan subur yang telah terbina sejak sekian lama, saya mengibaratkan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Bumi Kenyalang ini sebagai sebuah Keluarga Sarawak yang kecil di bawah naungan sebuah Keluarga Malaysia yang besar. 

Namun, sama seperti dalam sebuah keluarga yang besar, pasti akan berlaku  perbezaan pendapat dan cara berlainan untuk melaksanakan sesuatu antara Semenanjung dan Sarawak. Saya berpendapat keadaan seperti ini tidak menjadi masalah yang besar kalau pandangan dan kaedah yang berlainan ini diselesaikan secara muhibbah dalam suasana kekeluargaan yang mesra. Tidak ada perbezaan yang tidak dapat diselesaikan jika dibincang secara ikhlas untuk kepentingan bersama dan menang-menang untuk semua pihak. 

Sebagai sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang besar, saya pasti YAB Perdana Menteri dan barisan para pemimpin di peringkat keluarga besar ingin melihat keluarga kecil Sarawak juga berjaya dalam apa jua program pembangunan yang dilaksanakan dan halatuju ekonomi yang diberi tumpuan untuk mengangkat status Sarawak kepada ekonomi yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

Melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau PCDS 2030, Sarawak telah mengorak langkah ke arah ekonomi yang dicorakkan oleh kemajuan teknologi, kelestarian sumber dan usaha dunia untuk menangani perubahan iklim atau climate change. Sarawak amat menghargai sedikit kebebasan untuk membuat keputusan sendiri demi kemajuan negeri ini supaya suatu hari nanti mampu setanding dengan kawasan-kasawan lain yang sudah maju di negara ini. Saya yakin kalau Sarawak maju Malaysia juga maju. 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati, 

PENUTUP

Sebagai mengakhiri ucapan ini, dan dengan keyakinan sedemikian, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesempatan yang diberi kepada Sarawak untuk sama-sama menjulang semangat Keluarga Malaysia bersama-sama masyarakat di seluruh negara.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sumber dari : Sarawakku